Saturday, July 13, 2019

Tina yang comot

Tina, 10 tahun merupakan seorang budak yang tembam, degil dan comot. Tina tidak suka mandi, Tina tidak suka menyikat rambut dan Tina paling benci gosok gigi. Tina suka makan, semua benda Tina makan. Aiskrim, coklat, gula-gula, keropok, marshmallow, jelly semua Tina makan.

Hari ini, bermulalah musim cuti sekolah. Tina sangat gembira kerana Tina tidak perlu mandi untuk ke sekolah, tidak perlu sikat rambut dan tidak perlu gosok gigi. Sebelum pergi kerja ummi dan Abi berpesan kepada Tina supaya sentiasa jaga kebersihan diri, mandi, gosok gigi dan pastikan rambut disisir rapi. Tapi Tina sangat degil. Tina bertekad untuk tidak mandi sehingga petang.Tina akan mandi sebelum ummi dan Abi pulang dari kerja.
Akhir-akhir ini Tina mula rasa tidak gembira lagi apabila makan. Gigi Tina rasa sakit. Tina tidak boleh makan dan menjadi sangat moody. Tina tahu inilah akibat daripada malas gosok gigi. Kakak Tina,  Aina juga ada di rumah. Sesekali Aina menjenguk Tina, Aina suruh tina mandi dan gosok gigi. Tina yang moody tidak menghiraukan nasihat Aina. Aina menggelengkan kepala, arif dengan sikap Tina yang malas dan degil itu. Aina kembali ke biliknya dan menyambung menyiapkan kerja sekolahnya yang tertangguh.
Pada hari itu, Tina tidak mahu makan dan hanya berkurung di dalam biliknya menonton Upin dan Ipin sambil berbaring. Apabila petang, sudah tiba masanya untuk Tina mandi sebelum ummi dan Abi pulang. Tina cuba bangun, tapi kepalanya terasa berat. Tina rasa kepalanya, panas. Demam? Tina cuba bangun dan menuju ke cermin. Terkejut Tina melihat rupanya di cermin. Tidak terurus dan rambutnya mengerbang macam hantu Kak Limah gayanya. Wajah Tina kusam. Aina yang baru muncul di pintu bilik Aina ketawa. Lucu melihat rupa adiknya yang comot itu. Tina memuncungkan mulutnya. Semakin comot pula pada pandangan Aina menyebabkan ketawanya makin besar pula. Tina yang pada mulanya agak moody turut ketawa melihat Aina ketawa tak henti-henti.
Tina mengadu pada Aina, dia demam dan giginya sakit. Aina senyum penuh makna, Aina suruh Tina makan sedikit roti dan mandi. Aina suruh Tina gosok gigi. Kali ini Tina akur. Selepas mandi Tina berasa sangat segar dan badannya tidak lagi panas. Kepalanya juga terasa lebih ringan terutamanya selepas menyikat rambut. Tina juga telah menggosok gigi. Terasa lebih segar dan bertenaga selepas mandi, sikat rambut dan gosok gigi.

Tina mengadu tentang giginya yang sakit pada ummi dan abi. Ummi dan Abi membawa Tina berjumpa doktor gigi. Gigi Tina tidak sakit lagi dan Tina mula rajin menjaga kebersihan diri. Tina tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tina tidak mahu kelihatan comot seperti hantu Kak Limah lagi.

^^