Cerita teladan (Bismillah (Dengan nama Allah))


Pada zaman dahulu, tinggallah sepasang suami isteri disebuah pondok buruk terletak di hujung kampung. Rumah pasangan ini agak terpencil daripada penduduk-penduduk lain. Si isteri mempunyai tabiat suka melatah apabila terkejut. Latahnya pula selalu sahaja menyebut perkataan-perkataan yang tidak elok. 

Si suami pula, bukannya mahu menegur tabiat si isteri malah selalu pula mengusik si isteri dengan mengejutkan si isteri. Si isteri merasa terseksa dengan sikap suaminya yang suka mengusik sehingga tabiat tersebut kini telah sebati dengan dirinya.

Suatu hari si isteri pergi ke pasar, semasa di pasar, si isteri ada mendengar cerita tentang seorang orang alim sering mengadakan kuliah di surau kampung mereka. Si isteri sangat berminat untuk mendalami agama dan rasa terpanggil untuk ke majlis tersebut. Setelah sekian lama tinggal bersama suaminya, tak pernah sekalipun si suami mengajaknya ke majlis ilmu. 

Si isteri pulang ke rumah dan cuba mengajak suaminya pergi ke majlis ilmu tersebut tetapi tidak diendahkan oleh si suami, walaupun begitu si suami tidak pula membantah si isteri pergi ke majlis tersebut. Si isteri pon pergi ke majlis ilmu itu dengan hati yang gembira. Semasa di majlis ilmu itu, si isteri bertanya kepada orang alim tentang tabiatnya yang suka melatah menyebut perkataan-perkataan yang tidak baik dan bagaimana caranya untuk dia menghilangkan tabiat tersebut.

Orang alim meminta si isteri cuba untuk mengubah perkataan yang digunakan apabila melatah dengan menyebut Bismilah. Orang alim tahu sukar untuk mengubah tabiat melatah, oleh itu mengubah perkataan semasa melatah adalah cara terbaik bagi membantu si isteri.

Si isteri pegang kata-kata orang alim. Setiap kali melatah si isteri akan menyebut bismillah. Si suami yang mendengar perubahan perkataan yang digunakan si isteri tertanya-tanya, perkataan Bismillah terlalu asing buatnya. Si suami tanpa bertanya kepada si isteri terus membuat andaian bahawa si isteri tentu berlaku curang dan nama lelaki tersebut ialah Bismillah. 

Apabila si isteri pergi ke surau, si suami yang cemburu telah meletakkan seekor ular yang besar di dalam tempayan tempat membasuh kaki. Apabila pulang dari majlis ilmu, si isteri mencedok air dari tempayan untuk membasuh kaki. Si isteri terkejut kerana ada sesuatu bergerak di dalam tempayan. Si isteri terkejut dan melatah 'Allah Akbar, Bismillah'. Dengan kuasa Allah, ular yang diletakkan si suami tadi telah bertukar menjadi ikan keli. Alangkah terkejutnya si suami. 

Si suami segera menemui isterinya dan bertanya siapa 'Bismillah', si isteri menerangkan perihal sebenar dan maksud kalimah Bismillah, si isteri mengajak si suami bersama-sama bertaubat dan mendalami ilmu agama. Si suami melihat sendiri kebesaran Allah berasa insaf dan memohon maaf daripada si isteri. Mulai dari hari itu, pasangan tersebut sentiasa mengikuti majlis-majlis ilmu dan sentiasa cuba menjadi muslim yang lebih baik.  


No comments:

Post a Comment